Thursday, January 13, 2011

Agenda eratkan hubungan dua negara

Agenda eratkan hubungan dua negara

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my
2011/01/13

Malam Gala Seri Temasek iktiraf pencapaian artis baru, lama

BUAT julung kalinya, warga perfileman tanah air akan dirai dengan penuh meriah dalam majlis diberi nama Malam Gala Seri Temasek 2011 (MGST2011).

Majlis anjuran Majlis Pusat Singapura, Hann's Entertainment dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dirancang akan diadakan di Grand Ballroom, Hotel Fairmont, Singapura pada 5 Februari ini.

Acara terbabit dianjurkan bukan sekadar untuk menjalinkan hubungan persaudaraan dengan lebih erat antara sesama insan seni, malah ia juga bersesuaian sekali dengan suasana industri perfileman yang semakin berkembang maju di negara ini, ketika ini. Satu ketika dulu, industri perfileman Melayu berpusat di Singapura, sebelum sedikit demi sedikit beralih ke Kuala Lumpur.

Selepas Studio Jalan Ampas ditutup, ramai seniman dan seniwati berhijrah ke Studio Merdeka di Kuala Lumpur untuk memulakan penghidupan baru, sehinggalah industri perfileman tanah air dilihat semakin membangun.

Penganjurnya yang juga Pengarah Hann's Entertainment, Hanns Rawee berkata, sering kali majlis penganugerahan yang dijalankan baik di negara ini mahupun Singapura hanya membabitkan artis tempatan saja.

“Ini adalah majlis penganugerahan yang julung kalinya diadakan dengan menggabungkan anak seni dari Malaysia dan Singapura dalam satu acara.
“Sepatutnya, acara sebegini sudah lama kita sama-sama anjurkan, demi mengeratkan lagi hubungan dua negara.

“Namun selepas saya melihat kejayaan majlis penganugerahan yang dilaksanakan Persatuan Seniman (SENIMAN) di Kuching, Sarawak, dengan mengundang anak seni Singapura, lantas tercetus idea menganjurkan majlis ini.

“Saya juga bersyukur kerana idea ini mendapat kerjasama yang sangat baik daripada FINAS dan seluruh warga seni di Malaysia,” katanya yang akan mengadakan perbincangan dengan stesen televisyen berbayar Singapura, Sensasi, untuk merakamkan majlis terbabit bagi siaran stesen mereka.

Sidang media turut dihadiri penasihat majlis, Datuk Mustapha Maarof; Presiden Majlis Pusat Singapura, Zulkifli Mohammed; Timbalan Ketua Pengarah Finas, Mohd Zulkifli Ab Wahab; serta jawatankuasa majlis, Senator Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Aziz Sattar dan Aimi Jarr.

Turut hadir, Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah; produser Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam dan anaknya, Syamsul Yusof; produser MIG Productions Sdn Bhd, David Teo serta seniwati Mariani Ismail dan anaknya, Rozita Rohaizad.

Mustapha berkata, sebanyak 32 anugerah disediakan untuk Anugerah Seri Temasek membabitkan empat trofi Anugerah Lagenda Seri Temasek, Anugerah Seri Temasek (14), Anugerah Gemilang Seri Temasek (3), Anugerah Harapan Seri Temasek (3), Anugerah Pencapaian Seri Temasek (7) dan Anugerah Khas Seri Temasek (1).
“Penerima anugerah ini akan dipilih daripada satu jawatankuasa penilai yang akan dilantik dari kedua-dua negara ini.

“Mereka akan ditentukan berdasarkan latar belakang dan pencapaian mereka dalam industri. Penerima juga bukan saja dipilih daripada kalangan artis veteran malah artis muda turut tidak ketinggalan dinilai berdasarkan pencapaian mereka dan sumbangan mereka.

“Apa yang sangat kami harapkan, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dapat menghadiri majlis yang julung kali diadakan ini sebagai tetamu kehormat di samping Menteri Kebudayaan dari Singapura,” katanya. Aktiviti itu juga diharap dapat memberi pendedahan kepada warga Singapura mengenai perkembangan terkini industri filem Malaysia menerusi pameran yang dibawa FINAS serta persembahan artis dari kedua-dua negara.

Selain menyampaikan anugerah, malam itu turut memberi penghargaan kepada Seniman Agung Tan Sri P Ramlee melalui persembahan dalam segmen Mengenang Kembali Tan Sri P Ramlee (1929-1973). Antara artis yang terbabit ialah Anita Sarawak, Fredo, Ning Baizura, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Rozita Rohaizad, Sarah Aqilah, Didi Cazli dan Syamsul Yusof.

No comments:

Post a Comment