Sunday, September 11, 2011

Bengkel jeli cegah barah payudara

Sumber info di: Berita Harian Online 2011/09/06
Oleh Shaidah Shafie

(Dari kiri) Rozita Rohaizad, Melissa dan Joanna bersama
anak masing-masing ketika membuat jeli di Royal Selangor.

Penyakit bawa maut boleh diubati jika dikesan pada tahap awal

MEMERANGI barah payudara bukan kerja mudah kerana ramai wanita tidak gemar memperkatakannya secara terbuka, lebih-lebih bagi mereka yang menghidap barah payudara. Mereka lebih senang mengambil sikap tertutup terhadap situasi ini.

Justeru, masyarakat perlu menunjukkan sokongan jitu dalam usaha menyedarkan wanita bahawa barah payudara boleh diubati jika ia dikesan pada tahap awal apatah lagi mencegahnya jika kita mengetahui cara yang betul.
Penaung Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA), Puan Sri Akmal Abdul Salam, berkata maklumat asas penting untuk memberi kesedaran kepada penghidap barah payudara supaya tidak cepat melatah jika didapati berhadapan dengan penyakit ini.
“Jika anda menghidap barah payudara, ia bukanlah penghujung kepada kehidupan. Anda masih boleh menikmati hidup dengan gembira dan jangan menjadikan penyakit sebagai elemen yang mengongkong untuk hidup normal.

“Namun, apa yang lebih penting, perlu tahu bagaimana penyakit ini boleh ditangani dengan baik. Langkah pertama, lakukan ujian ke atas diri sendiri bagi memastikan anda tidak mempunyai sebarang gejala penyakit berkaitan,” katanya ketika ditemui pada majlis membuat jeli bersama rakan dan keluarga untuk tujuan amal anjuran Royal Selangor, di Ampang, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Royal Selangor International, Yong Yoon Li; Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Kebajikan Kanser Payudara, Ranjit Kaur dan artis, Datin Sofea Jane Hisham, Melissa Saila Alias serta Joanna Kam juga hadir memeriahkan acara.

Akmal berkata, BCWA juga baru-baru ini melancarkan program Unit Bergerak Membawa Maklumat ke Seluruh Negara (MURNI) untuk masyarakat luar bandar mengesan barah payudara bagi pencegahan awal.
“MURNI diwujudkan khusus untuk memberi kesedaran dan maklumat kepada wanita luar bandar mengenai pentingnya mengesan penyakit ini di peringkat awal serta apa perlu mereka perlu lakukan jika dikesan menghidap barah payudara.

“Bagi penghidap barah payudara, mereka tidak keseorangan. Mereka boleh datang kepada kita untuk berkongsi maklumat atau apa saja yang boleh memberi kelegaan kepada mereka. Mereka tidak perlu menyembunyikan diri, sebaliknya berkongsi maklumat itu mungkin boleh membantu mereka menghadapi tekanan penyakit,” katanya.

Katanya, untuk menjayakan program itu, BCWA bekerjasama dengan Universiti Malaya (UM) dalam menjalankan bancian sebelum dan selepas memasuki kawasan luar bandar di beberapa kampung dengan dikendalikan jururawat serta bekas penghidap barah payudara terlatih.

Sementara itu, Yoon Li berkata, Royal Selangor sentiasa meletakkan keutamaan untuk memberi sokongan terhadap pertubuhan yang memerangi barah payudara.

“Sudah beberapa tahun kami menganjurkan program membuat jeli sebagai kegiatan interaktif pada Oktober dengan tujuan menimbulkan kesedaran terhadap penyakit barah payudara. Acara ini dapat mengutip derma untuk Persatuan Kebajikan Kanser Payudara dan mengeratkan silaturahim antara rakan serta ahli keluarga sambil meraikan hidup, cinta dan keriangan.

“Royal Selangor akan menganjurkan bengkel membuat jeli bagi mereka yang membeli acuan jeli berbentuk kon, diilhamkan daripada bukit-bukau rekaan pereka British, Nick Munro. Setiap bengkel membabitkan sekurang-kurangnya 10 peserta,” katanya.

Yoon Li berkata, Royal Selangor akan menderma sebanyak RM80 daripada harga acuan jeli sebanyak RM290 kepada Persatuan Kebajikan Royal Selangor. Resipi jeli daripada tukang masak antarabangsa turut disertakan. Antara tukang masak yang menyumbang adalah Emmanuel Stroobant, selain resipi daripada Royal Selangor sendiri.

Mereka yang berminat menyertai bengkel membuat jeli ini boleh menghubungi Royal Selangor di talian 03-41456234 atau 03-41456345.

Tuesday, March 29, 2011

Berangkat menunaikan ibadah UMRAH pada 29 March 2011


Assalamualaikum, rozy telah selamat berangkat menunaikan umrah semalam 29 march 2011 jam 3ptg di temani oleh ibunya juga ahli keluarga terdekat, dan insyallah akan kembali ke tanah air pada tarikh 09 April 2011.

*Msg dlm gambar dari blogspot Rozita Rohaizad sendiri.

Sunday, February 6, 2011

Mlm Gala Seri Temasek 2011

Poster promo untuk fansclub Rozita Rohaiza



Poster mlm Gala Seri Temasek 2011
*Rozita adalah salah seorang artis yang di jemput untuk membuat persembahan pada malam itu.

Thursday, January 27, 2011

EKSTRA! PENGHARGAAN - Anugerah Seri Temasek

27 Jan 2011

EKSTRA!

PENGHARGAAN
Anugerah Seri Temasek

Mengiktiraf sumbangan seniman dan seniwati Singapura dan Malaysia

Oleh
Freda Hassan

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama Majlis Pusat dan syarikat Hann's Entertainment bakal menganjurkan Anugerah Seri Temasek 2011.

Tujuannya adalah untuk menghargai dan mengiktiraf sumbangan seniman dan seniwati Malaysia dan Singapura dalam industri filem kedua-dua negara.

Anugerah yang pertama kalinya dianjurkan di Kota Singa ini akan diadakan pada 5 Februari ini di Hotel Fairmont.

Penasihat Anugerah Seri Temasek, Datuk Mustapha Ma'arof, berkata anugerah itu antara lain bertujuan meneruskan industri filem Malaysia yang banyak bermula di Singapura selain mengimbau perjuangan legenda filem Malaysia yang ramai dilahirkan di negara itu.

'Perjuangan legenda seniman Malaysia sebenarnya banyak bermula di Singapura tempat kami mula belajar dan mula menghiburkan rakyat dengan filem.

'Anugerah ini sememangnya berkait rapat dan signifikan dengan sejarah perkembangan filem Melayu yang satu ketika dulu giat dijalankan di Singapura sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an,' katanya pada sidang media mengenai anugerah itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebanyak 32 anugerah disediakan untuk Anugerah Seri Temasek iaitu empat trofi Anugerah Legenda Seri Temasek, Anugerah Seri Temasek (14), Anugerah Gemilang Seri Temasek (3), Anugerah Harapan Seri Temasek (3), Anugerah Pencapaian Seri Temasek (7) dan Anugerah Khas Seri Temasek (1).

Difahamkan, penerima anugerah ini akan dipilih oleh satu jawatankuasa penilai yang akan dilantik daripada kedua-dua negara ini.

'Mereka akan ditentukan berdasarkan latar belakang dan pencapaian mereka dalam industri. Penerima juga bukan saja dipilih daripada kalangan artis veteran malah artis muda turut tidak ketinggalan dinilai berdasarkan pencapaian mereka dan sumbangan mereka,' kata Datuk Mustapha lagi.

Selain menyampaikan anugerah, malam itu turut memberi penghargaan kepada Seniman Agung Tan Sri P Ramlee melalui persembahan dalam segmen Mengenang Kembali Tan Sri P Ramlee (1929-1973). Artis-artis yang dijangka membuat persembahan adalah Anita Sarawak, Fredo, Ning Baizura, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Rozita Rohaizad, R. Ismail, Sarah Aqilah, Didi Cazli, Rudy Djoharnaen dan Syamsul Yusof.

Tiket-tiket berharga $ 100 (termasuk jamuan malam) dan $200 (premium) bagi menyaksikan Malam Gala Seri Temasek 2011 boleh diperolehi menerusi talian 9163-0275 (Zul) atau 9639-3844 (Yusof).

Hanya 100 tempat duduk premium disediakan bagi pembeli yang ingin bergambar dan mendekati artis-artis veteran yang diundang khas pada malam tersebut seperti Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Maria Menado, Mariani Ismail, Datuk Jamil Sulong, Wahid Satay, R. Ismail, Zaiton, Kassim Masdor, S. Shamsuddin, Momo Latiff, Neng Yatimah, Datuk Mustapha Ma'arof, Datuk Aziz Sattar, Senator Tan Sri Dr Jins Samsuddin dan Nona Asiah.

Menurut penganjur, Finas turut mengadakan Pameran Filem Melayu bertempat di Tingkat 4, Hotel Fairmont, dari 1 sehingga 5 petang pada 5 Februari. Masuk adalah percuma untuk pameran filem ini.

Friday, January 14, 2011

Malam Gala Seri Temasek - Akhbar Singapore



Foto TAUFIK A. KADER


14 Jan 2011

SINGAPURA

Pameran perkahwinan mega

MANTAN Presiden Mahkamah Syariah, Ustaz Pasuni Maulan; (dari kanan) diiringi Presiden Pertapis, Haji Hussaini Abdullah; dan Pengarah Urusan MegaXpress, Haji Hamzah Abdullah; kelihatan serius mendengar taklimat daripada Cik Suraya Talib, Pengarah firma Chinta Wedding, mengenai khidmat yang ditawarkan.

Ustaz Pasuni menjadi tetamu terhormat di pameran Perkahwinan & Gaya Hidup Mega dan Eksotika Indonesia anjuran MegaXpress.

Pameran bermula semalam hingga Ahad ini di Singapore Expo itu menampilkan keperluan perkahwinan di bawah satu bumbung.

Terdapat lebih 300 gerai yang menawarkan pelbagai keperluan seperti khidmat andaman, dekorasi, katering, DJ, fotografi, videografi, gubahan, kek, berkat, kad undangan, khidmat kendarat, pakej percutian dan lain-lain untuk bakal mempelai.

Para pengunjung yang berbelanja sekurang-kurangnya $500 di gerai pengantin berpeluang memenangi hadiah pertama berupa pakej berbulan madu dan fotografi di kapal Superstar Virgo bernilai $7,000, hadiah kedua bernilai $699 yang menyediakan khidmat fotografi mobile dan hadiah ketiga bernilai $599 berupa penginapan di Hotel Re!

Antara tarikan pada malam ini ialah penampilan istimewa Mariani dan Rozita Rohaizad.

Erry Putra, One Nation Emcee Show, Bayu Kusumanegara dan Lynn Malik pula bakal beraksi esok malam.

Pada petang Ahad pula, Aesar Mustafa & Caprice bakal membuat persembahan bersama Fatimah M.Y, Junaidah M. Amin, Roslan Yus dan Mahani Mohd.



Thursday, January 13, 2011

Agenda eratkan hubungan dua negara

Agenda eratkan hubungan dua negara

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my
2011/01/13

Malam Gala Seri Temasek iktiraf pencapaian artis baru, lama

BUAT julung kalinya, warga perfileman tanah air akan dirai dengan penuh meriah dalam majlis diberi nama Malam Gala Seri Temasek 2011 (MGST2011).

Majlis anjuran Majlis Pusat Singapura, Hann's Entertainment dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dirancang akan diadakan di Grand Ballroom, Hotel Fairmont, Singapura pada 5 Februari ini.

Acara terbabit dianjurkan bukan sekadar untuk menjalinkan hubungan persaudaraan dengan lebih erat antara sesama insan seni, malah ia juga bersesuaian sekali dengan suasana industri perfileman yang semakin berkembang maju di negara ini, ketika ini. Satu ketika dulu, industri perfileman Melayu berpusat di Singapura, sebelum sedikit demi sedikit beralih ke Kuala Lumpur.

Selepas Studio Jalan Ampas ditutup, ramai seniman dan seniwati berhijrah ke Studio Merdeka di Kuala Lumpur untuk memulakan penghidupan baru, sehinggalah industri perfileman tanah air dilihat semakin membangun.

Penganjurnya yang juga Pengarah Hann's Entertainment, Hanns Rawee berkata, sering kali majlis penganugerahan yang dijalankan baik di negara ini mahupun Singapura hanya membabitkan artis tempatan saja.

“Ini adalah majlis penganugerahan yang julung kalinya diadakan dengan menggabungkan anak seni dari Malaysia dan Singapura dalam satu acara.
“Sepatutnya, acara sebegini sudah lama kita sama-sama anjurkan, demi mengeratkan lagi hubungan dua negara.

“Namun selepas saya melihat kejayaan majlis penganugerahan yang dilaksanakan Persatuan Seniman (SENIMAN) di Kuching, Sarawak, dengan mengundang anak seni Singapura, lantas tercetus idea menganjurkan majlis ini.

“Saya juga bersyukur kerana idea ini mendapat kerjasama yang sangat baik daripada FINAS dan seluruh warga seni di Malaysia,” katanya yang akan mengadakan perbincangan dengan stesen televisyen berbayar Singapura, Sensasi, untuk merakamkan majlis terbabit bagi siaran stesen mereka.

Sidang media turut dihadiri penasihat majlis, Datuk Mustapha Maarof; Presiden Majlis Pusat Singapura, Zulkifli Mohammed; Timbalan Ketua Pengarah Finas, Mohd Zulkifli Ab Wahab; serta jawatankuasa majlis, Senator Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Aziz Sattar dan Aimi Jarr.

Turut hadir, Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah; produser Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam dan anaknya, Syamsul Yusof; produser MIG Productions Sdn Bhd, David Teo serta seniwati Mariani Ismail dan anaknya, Rozita Rohaizad.

Mustapha berkata, sebanyak 32 anugerah disediakan untuk Anugerah Seri Temasek membabitkan empat trofi Anugerah Lagenda Seri Temasek, Anugerah Seri Temasek (14), Anugerah Gemilang Seri Temasek (3), Anugerah Harapan Seri Temasek (3), Anugerah Pencapaian Seri Temasek (7) dan Anugerah Khas Seri Temasek (1).
“Penerima anugerah ini akan dipilih daripada satu jawatankuasa penilai yang akan dilantik dari kedua-dua negara ini.

“Mereka akan ditentukan berdasarkan latar belakang dan pencapaian mereka dalam industri. Penerima juga bukan saja dipilih daripada kalangan artis veteran malah artis muda turut tidak ketinggalan dinilai berdasarkan pencapaian mereka dan sumbangan mereka.

“Apa yang sangat kami harapkan, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dapat menghadiri majlis yang julung kali diadakan ini sebagai tetamu kehormat di samping Menteri Kebudayaan dari Singapura,” katanya. Aktiviti itu juga diharap dapat memberi pendedahan kepada warga Singapura mengenai perkembangan terkini industri filem Malaysia menerusi pameran yang dibawa FINAS serta persembahan artis dari kedua-dua negara.

Selain menyampaikan anugerah, malam itu turut memberi penghargaan kepada Seniman Agung Tan Sri P Ramlee melalui persembahan dalam segmen Mengenang Kembali Tan Sri P Ramlee (1929-1973). Antara artis yang terbabit ialah Anita Sarawak, Fredo, Ning Baizura, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Rozita Rohaizad, Sarah Aqilah, Didi Cazli dan Syamsul Yusof.