Tuesday, January 17, 2012

Rozita Rohaizat kembali

Sumber info di: Utusan Malaysia Online Hiburan 17/1/2012
tajuk berita: Rozita Rohaizat kembali

picture credit to Utusan Malaysia Online

WALAUPUN sudah hampir 18 tahun menyepi, ternyata semangat seni Rozita Rozhaizat tidak pernah terpadam.

Pernah hadir dengan album Kekal Abadi, kini anak seniwati Mariani itu nekad mahu kembali aktif dalam industri seni tanah air.

Kesempatan Hits berjumpa dengan pelantun lagu Korban Cinta itu ketika sambutan hari lahirnya yang ke-55 pada 6 Januari lalu sedikit sebanyak merungkai luahan hatinya sebagai seorang penghibur yang pernah popular pada akhir 1979 dahulu.

Mengakui agak sukar untuk meneruskan kehidupan sebagai penyanyi ketika ini, namun dia bersyukur kerana tahun 2012 bagaikan satu petanda dia akan kembali diterima dalam industri seni.

"Jujurnya, ketika ini saya rasa sangat bersyukur kerana mempunyai peminat yang sentiasa menyokong saya.

"Bagi saya, mereka merupakan pendorong saya kerana mereka tidak putus-putus memberi semangat malah ada di antara mereka yang sanggup mempromosi dan mengedarkan album saya," katanya.

Tidak mahu mengaku kalah dengan kerenah sesetengah stesen radio yang hanya memutarkan lagu-lagu tertentu, Rozita masih mampu tersenyum bangga kerana lagunya masih mendapat permintaan di luar negara.

"Alhamdulillah, saya mendapat maklum balas cukup positif mengenai kebanyakan lagu saya yang mendapat perhatian di stesen radio atas talian (online) di Singapura iaitu Luahan Rasa FM dan juga Radio Berita 21 di Indonesia.

"Malah majlis hari lahir saya kali ini dianjurkan bersama dengan radio online tanah air, Generasi Revolusi FM (GRFM) yang juga merupakan kenalan baru saya.

"Dalam masa yang sama, saya lihat radio atas talian ini juga merupakan salah satu platform bagi saya bagi mempromosikan lagu-lagu saya sebelum ini.

"Selain itu, saya juga rasa sangat bertuah kerana lagu Bertamu Memori dan Korban Cinta turut tercalon dalam Lagu Tema Asal Terbaik melalui filem Sumpahan Puaka pada Festival Filem Malaysia ke-24 pada tahun lalu," ujarnya penuh bersemangat.

Selain itu, Rozita yang pernah berlakon dalam filem Dendam Dari Pusara, Serampang Tiga dan Setinggan juga mengakui kini semakin selesa tampil di hadapan lensa kamera.

"Baru-baru ini saya terlibat dalam drama Anak Hero arahan adik saya, Melissa Saila serta drama Tanah Kubur episod Gigolo arahan Rashid Sibir.

"Jika wataknya bersesuaian dengan saya, tidak salah rasanya jika saya mencuba perkara berkenaan," ujarnya yang turut merancang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana dalam jurusan perniagaan pada tahun ini.

Info internet.