Saturday, April 5, 2008

Rozita Rohaizad muncul semula - utusan online

ARKIB : 04/05/2008


Rozita Rohaizad muncul semula



Bagi penggemar dunia muzik hari ini tentu sekali akan tertanya-tanya siapakah wanita yang bernama Rozita Rohaizad. Walaupun nama itu tidak segah Erra Fazira, Datuk Siti Nurhaliza atau Ziana Zain tetapi percaya atau tidak beliau sebenarnya sudah senior dalam dunia nyanyian.

Cuma mungkin nasib tidak menyebelahinya untuk membolehkan populariti yang pernah diraih suatu ketika dahulu itu meniti di bibir peminat.

Dan hari ini selepas 18 tahun berlalu, anak kepada seniwati Mariani dengan perkahwinan pertamanya dulu cuba membuat kejutan untuk memeriahkan dunia seni.

Berusia 51 tahun, pemilik nama sebenar Siti Roswita Syed Hamid ini berhasrat untuk mengembalikan saat kegemilangannya yang pernah tercipta pada akhir 1979 dahulu.

Mengimbas detik itu, bakat beliau mula dicungkil oleh komposer Datuk Ahmad Nawab sehingga terhasilnya album pertama berjudul Hari Yang Ku Nantikan bersama syarikat rakaman EMI.

Menyandarkan lagu Joget Budaya dan Cik Cik Boom, namanya sememangnya cukup dikenali pada waktu itu sehinggalah diberikan peluang berlakon filem sekitar tahun 1980-an.

Antara filem lakonannya Dendam Dari Pusara, Serampang Tiga dan Setinggan.

Tetapi selepas mendirikan rumah, beliau mula meninggalkan bidang seni kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarga.

“Selepas berumah tangga, saya merasakan adalah lebih baik tumpuan diberikan kepada suami dan anak sehinggalah nama saya yang pernah digilap sedikit masa dulu semakin hilang.

“Tetapi hari ini saya ingin mencuba untuk mengembalikan saat kegemilangan lampau saya dan sama-sama untuk memeriahkan dunia seni yang menjadi darah daging saya selama ini,” katanya.

Bersandarkan kepada harapan itu, maka Rozita menggunakan wang ringgitnya sendiri bagi menghasilkan album terbarunya Kekal Abadi yang dijadual berada di pasaran pertengahan Mei ini.

Ada yang bertanya tidakkah terlewat untuk beliau muncul kembali di saat dunia hiburan ketika ini tenat dengan kemunculan ramai artis terutamanya bintang-bintang realiti?

Bagaimanapun kata Rozita ia bukanlah satu halangan besar sebaliknya yang dia mahukan legasi darah seninya itu akan terus mengalir.

“Ibu (Mariani) dan adik saya Melissa Saila adalah artis. Begitu juga arwah bapa saya dan juga ibu saudara saya (Saloma).

“Berdasarkan kepada latarbelakang itu tidak salah saya menghasilkan album supaya orang boleh mengenang apabila tiada nanti,” ujarnya.

Menurut Rozita, niat untuk menghasilkan album sudah lama dipendam sejak kematian suaminya lebih setahun lalu.

Selepas bertemu dengan penerbit album Kamal Jay, hasrat Rozita itu dapat dilaksanakan dengan penglibatan beberapa komposer seperti Harun Ahmad.

Album yang akan diedarkan oleh Music Valley itu masih pada peringkat akhir rakaman cukup istimewa kerana Melissa Saila turut berduet dengan Rozita untuk lagu Kini Ku Sedar.

Dalam masa yang sama Mariani turut bersama menyumbangkan suara latarnya untuk sebuah lagu sketsa berjudul Rempit.

Rozita yang mempunyai seorang anak tunggal Lela Arfah Kamaruzzalam berusia 15 tahun tidak hanya menumpukan perhatian dalam bidang nyanyian sebaliknya bekerja sebagai remisier di salah sebuah bank.