Thursday, January 27, 2011

EKSTRA! PENGHARGAAN - Anugerah Seri Temasek

27 Jan 2011

EKSTRA!

PENGHARGAAN
Anugerah Seri Temasek

Mengiktiraf sumbangan seniman dan seniwati Singapura dan Malaysia

Oleh
Freda Hassan

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama Majlis Pusat dan syarikat Hann's Entertainment bakal menganjurkan Anugerah Seri Temasek 2011.

Tujuannya adalah untuk menghargai dan mengiktiraf sumbangan seniman dan seniwati Malaysia dan Singapura dalam industri filem kedua-dua negara.

Anugerah yang pertama kalinya dianjurkan di Kota Singa ini akan diadakan pada 5 Februari ini di Hotel Fairmont.

Penasihat Anugerah Seri Temasek, Datuk Mustapha Ma'arof, berkata anugerah itu antara lain bertujuan meneruskan industri filem Malaysia yang banyak bermula di Singapura selain mengimbau perjuangan legenda filem Malaysia yang ramai dilahirkan di negara itu.

'Perjuangan legenda seniman Malaysia sebenarnya banyak bermula di Singapura tempat kami mula belajar dan mula menghiburkan rakyat dengan filem.

'Anugerah ini sememangnya berkait rapat dan signifikan dengan sejarah perkembangan filem Melayu yang satu ketika dulu giat dijalankan di Singapura sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an,' katanya pada sidang media mengenai anugerah itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebanyak 32 anugerah disediakan untuk Anugerah Seri Temasek iaitu empat trofi Anugerah Legenda Seri Temasek, Anugerah Seri Temasek (14), Anugerah Gemilang Seri Temasek (3), Anugerah Harapan Seri Temasek (3), Anugerah Pencapaian Seri Temasek (7) dan Anugerah Khas Seri Temasek (1).

Difahamkan, penerima anugerah ini akan dipilih oleh satu jawatankuasa penilai yang akan dilantik daripada kedua-dua negara ini.

'Mereka akan ditentukan berdasarkan latar belakang dan pencapaian mereka dalam industri. Penerima juga bukan saja dipilih daripada kalangan artis veteran malah artis muda turut tidak ketinggalan dinilai berdasarkan pencapaian mereka dan sumbangan mereka,' kata Datuk Mustapha lagi.

Selain menyampaikan anugerah, malam itu turut memberi penghargaan kepada Seniman Agung Tan Sri P Ramlee melalui persembahan dalam segmen Mengenang Kembali Tan Sri P Ramlee (1929-1973). Artis-artis yang dijangka membuat persembahan adalah Anita Sarawak, Fredo, Ning Baizura, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Rozita Rohaizad, R. Ismail, Sarah Aqilah, Didi Cazli, Rudy Djoharnaen dan Syamsul Yusof.

Tiket-tiket berharga $ 100 (termasuk jamuan malam) dan $200 (premium) bagi menyaksikan Malam Gala Seri Temasek 2011 boleh diperolehi menerusi talian 9163-0275 (Zul) atau 9639-3844 (Yusof).

Hanya 100 tempat duduk premium disediakan bagi pembeli yang ingin bergambar dan mendekati artis-artis veteran yang diundang khas pada malam tersebut seperti Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Maria Menado, Mariani Ismail, Datuk Jamil Sulong, Wahid Satay, R. Ismail, Zaiton, Kassim Masdor, S. Shamsuddin, Momo Latiff, Neng Yatimah, Datuk Mustapha Ma'arof, Datuk Aziz Sattar, Senator Tan Sri Dr Jins Samsuddin dan Nona Asiah.

Menurut penganjur, Finas turut mengadakan Pameran Filem Melayu bertempat di Tingkat 4, Hotel Fairmont, dari 1 sehingga 5 petang pada 5 Februari. Masuk adalah percuma untuk pameran filem ini.

No comments:

Post a Comment