Sunday, September 11, 2011

Bengkel jeli cegah barah payudara

Sumber info di: Berita Harian Online 2011/09/06
Oleh Shaidah Shafie

(Dari kiri) Rozita Rohaizad, Melissa dan Joanna bersama
anak masing-masing ketika membuat jeli di Royal Selangor.

Penyakit bawa maut boleh diubati jika dikesan pada tahap awal

MEMERANGI barah payudara bukan kerja mudah kerana ramai wanita tidak gemar memperkatakannya secara terbuka, lebih-lebih bagi mereka yang menghidap barah payudara. Mereka lebih senang mengambil sikap tertutup terhadap situasi ini.

Justeru, masyarakat perlu menunjukkan sokongan jitu dalam usaha menyedarkan wanita bahawa barah payudara boleh diubati jika ia dikesan pada tahap awal apatah lagi mencegahnya jika kita mengetahui cara yang betul.
Penaung Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA), Puan Sri Akmal Abdul Salam, berkata maklumat asas penting untuk memberi kesedaran kepada penghidap barah payudara supaya tidak cepat melatah jika didapati berhadapan dengan penyakit ini.
“Jika anda menghidap barah payudara, ia bukanlah penghujung kepada kehidupan. Anda masih boleh menikmati hidup dengan gembira dan jangan menjadikan penyakit sebagai elemen yang mengongkong untuk hidup normal.

“Namun, apa yang lebih penting, perlu tahu bagaimana penyakit ini boleh ditangani dengan baik. Langkah pertama, lakukan ujian ke atas diri sendiri bagi memastikan anda tidak mempunyai sebarang gejala penyakit berkaitan,” katanya ketika ditemui pada majlis membuat jeli bersama rakan dan keluarga untuk tujuan amal anjuran Royal Selangor, di Ampang, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Royal Selangor International, Yong Yoon Li; Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Kebajikan Kanser Payudara, Ranjit Kaur dan artis, Datin Sofea Jane Hisham, Melissa Saila Alias serta Joanna Kam juga hadir memeriahkan acara.

Akmal berkata, BCWA juga baru-baru ini melancarkan program Unit Bergerak Membawa Maklumat ke Seluruh Negara (MURNI) untuk masyarakat luar bandar mengesan barah payudara bagi pencegahan awal.
“MURNI diwujudkan khusus untuk memberi kesedaran dan maklumat kepada wanita luar bandar mengenai pentingnya mengesan penyakit ini di peringkat awal serta apa perlu mereka perlu lakukan jika dikesan menghidap barah payudara.

“Bagi penghidap barah payudara, mereka tidak keseorangan. Mereka boleh datang kepada kita untuk berkongsi maklumat atau apa saja yang boleh memberi kelegaan kepada mereka. Mereka tidak perlu menyembunyikan diri, sebaliknya berkongsi maklumat itu mungkin boleh membantu mereka menghadapi tekanan penyakit,” katanya.

Katanya, untuk menjayakan program itu, BCWA bekerjasama dengan Universiti Malaya (UM) dalam menjalankan bancian sebelum dan selepas memasuki kawasan luar bandar di beberapa kampung dengan dikendalikan jururawat serta bekas penghidap barah payudara terlatih.

Sementara itu, Yoon Li berkata, Royal Selangor sentiasa meletakkan keutamaan untuk memberi sokongan terhadap pertubuhan yang memerangi barah payudara.

“Sudah beberapa tahun kami menganjurkan program membuat jeli sebagai kegiatan interaktif pada Oktober dengan tujuan menimbulkan kesedaran terhadap penyakit barah payudara. Acara ini dapat mengutip derma untuk Persatuan Kebajikan Kanser Payudara dan mengeratkan silaturahim antara rakan serta ahli keluarga sambil meraikan hidup, cinta dan keriangan.

“Royal Selangor akan menganjurkan bengkel membuat jeli bagi mereka yang membeli acuan jeli berbentuk kon, diilhamkan daripada bukit-bukau rekaan pereka British, Nick Munro. Setiap bengkel membabitkan sekurang-kurangnya 10 peserta,” katanya.

Yoon Li berkata, Royal Selangor akan menderma sebanyak RM80 daripada harga acuan jeli sebanyak RM290 kepada Persatuan Kebajikan Royal Selangor. Resipi jeli daripada tukang masak antarabangsa turut disertakan. Antara tukang masak yang menyumbang adalah Emmanuel Stroobant, selain resipi daripada Royal Selangor sendiri.

Mereka yang berminat menyertai bengkel membuat jeli ini boleh menghubungi Royal Selangor di talian 03-41456234 atau 03-41456345.