Thursday, June 26, 2008

Tok Perak 'cubaan' pertama Rozita Rohaizad dalam teater


Tok Perak 'cubaan' pertama Rozita Rohaizad dalam teater

SELEPAS 18 tahun menyepi, pelakon dan penyanyi Siti Roswita Hamid atau nama komersialnya Rozita Rohaizad, 51 kembali mewarnai industri hiburan!

Beliau yang sebelum ini belum pernah menceburi bidang teater kini mula berjinak-jinak dalam bidang tersebut selepas diundang oleh pengarah dan penulis Datuk Syed Alwi untuk berlakon teater Tok Perak.

Kata anak kepada seniwati Mariani dan anak saudara biduanita negara Saloma ini, sebenarnya minat untuk berteater telah lama terbit dalam dirinya cuma tiada peluang untuk mendekati bidang itu.

Apabila menonton teater Muzikal P. Ramlee, minat tersebut bertambah dan meluap-luap kerana selain berlakon dan menyanyi, beliau juga meminati tarian.


Rozita kembali aktif selepas menyepi selama 18 tahun (Foto The Star oleh Samuel Ong)

"Saya mengidam untuk menyertai teater seperti dalam Muzikal P. Ramlee sebab teater tersebut memang menarik dengan tarian, nyanyian dan sebagainya. Namun, saya rasa sukar untuk mendapat mana-mana watak untuk dilakonkan.

"Jika diberi peluang, saya suka membawakan watak Saloma sebab saya tahu tentang ciri-ciri yang ada dalam dirinya lebih-lebih lagi dia merupakan ibu saudara saya," kata Rozita ketika ditemui di majlis pratonton persembahan teater Tok Perak: Yang Mencari Dan Menanti- Drama Sepintas Lalu di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Tambah kakak kepada selebriti Melissa Saila, aksi yang dilakonkan oleh Liza Hanim sebagai Saloma bukanlah menginterpretasikan diri sebenar isteri P. Ramlee itu.

"Mengenali Saloma, allahyarhamah merupakan seorang wanita yang pendiam, lemah-lembut, sopan, dan feminin. Jadi, sebab itu P. Ramlee terlalu menyayanginya," ceritanya yang selalu tinggal dengan Saloma di Kuala Lumpur sejak tahun 50-an.

Tambahnya, beliau ke rumah Saloma apabila pulang dari menyanyi di luar negara kerana rumah keluarganya ketika itu terletak di Singapura.

Bercakap kembali mengenai lakonannya dalam Tok Perak, Rozita juga diikutkan meneruskan legasi Saloma yang sebelum ini pernah terlibat dalam teater Tok Perak ketika pertama kali dipentaskan dalam tahun 1974 lalu.

"Dalam Tok Perak dulu, Saloma tak berlakon tetapi hanya bersyair. Sementara saya pula kena buat kedua-duanya iaitu berlakon dan bersyair.

"Saya berlakon sebagai Ketua Puak A yang perlu bercakap dalam bahasa Inggeris di mana kami mengajak Tok Perak untuk berbahasa Inggeris ketika menjual ubatnya.


Aksi Rozita ketika berlakon sebagai Ketua Puak A bersama
Tok Perak lakonan Sabri Yunus

"Sebagai permulaan untuk menceburi teater ini, syukurlah watak saya tidak terlalu berat dan masih mampu membawakan watak tersebut seperti yang diinginkan.

"Kadangkala, timbul juga perasaan gementar bercampur seronok tetapi saya yakin boleh melakukannya kerana setakat ini saya masih ingat dialog dan apa yang perlu dilakukan," tutur Rozita yang pernah membintangi filem Setinggan ketika tahun 1980.

Dengan kemunculan kembali Rozita dalam industri ini, beliau dikira telah meneruskan perjuangan kedua ibu bapanya iaitu Mariani dan H. M Rohaizad.

Mungkin ramai yang masih mengenali dan mengingati seniwati Mariani atau nama sebenarnya Siti Mariam Ismail yang juga kakak kepada biduanita Saloma melalui lakonannya dalam filem Tiga Abdul, Labu Labi, Masam Masam Manis dan banyak lagi.

Manakala H. M Rohaizad pula adalah penulis lirik lagu Hujan Di Tengah Hari juga merupakan penulis skrip filem Seniman Bujang Lapok.

"Saya kembali ni pun kerana ibu saya ingin anak-anaknya meneruskan legasi kami kerana keluarga Saloma tiada pewaris dalam industri ini.

"Saya juga masih mempunyai minat untuk menyanyi dan sekarang baru berpeluang. Sebelum ini, saya pernah kecewa kerana tiada peluang dan orang dulu selalunya memandang serong kepada artis. Namun, sekarang fenomena itu dah berubah dan kami semakin dihargai," jelas ibu tunggal kepada seorang anak ini.

Selepas suaminya, Kamaruzaman Bahadun meninggal dunia dua tahun lalu, kini Rozita hidup solo bersama anaknya iaitu Leila Arfah yang berusia 18 tahun.


Barisan pelakon teater Tok Perak bersama Syed Alwi

Peminat bantu buat album

Menurut Rozita lagi, album terbarunya iaitu Kekal Abadi terhasil atas bantuan dan sokongan peminatnya yang ditemui melalui internet dan melalui kawan-kawannya.

"Mereka tolong saya mereka konsep album, membuat lirik, menghias muka depan album dan banyak lagi.

"Kebanyakannya bekerja sebagai guru yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an.

"Sekarang, saya sudah selesai merakam lapan buah lagu yang bakal dimuatkan dalam album tersebut.

"Namun, saya perlu masuk studio semula pada 29 Jun ini untuk proses remix lagu dan album ini dijangka keluar dalam bulan depan selepas semuanya selesai dan puas hati," kata Rozita mengenai album ketiganya itu.

Dengan menggunakan modal sendiri, Rozita bakal tampil dengan lagu-lagu seperti Syair Sang Bulan ciptaan Kamal, Rempit ciptaan Jaja dan banyak lagi yang diedarkan oleh syarikatnya iaitu Yesbaby Music dan diterbitkan oleh Kamal Jay.

Kata penyanyi dan pelakon popular era 70-an ini, album yang dihasilkan ini juga ibarat album keluarga.

Ceritanya, Melissa, Mariani dan turut menyumbangkan suara mereka untuk album yang berkonsepkan pop rock itu.

"Melissa berduet dengan saya melalui lagu Kini Ku Sedar, ibu pula berceloteh dalam lagu Rempit dan anak saya diundang sebagai penyanyi latar," ujarnya yang menyukai lagu Korban Cinta yang turut dimuatkan dalam album itu.

Jelas Rozita, beliau memilih konsep pop rock kerana sesuai dengan penerimaan pasaran sekarang terutama anak muda.

"Selain Harun Ahmad, Kamal dan Jaja, album ini turut mendapat sentuhan komposer muda iaitu Eden. Namun, saya tak pernah jumpa dia. Dia terlibat dalam album ni pun melalui rakan-rakan saya," beritahu Rozita yang pernah popular dengan lagu retro Cik Cik Boom dan Gugurnya Mawar Desa.

Lagu tersebut pernah memenangi Runut Bunyi Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia tahun 1983.

Bagi peminat yang merindui lakonan Rozita, saksikan beliau dalam persembahan teater Tok Perak: Yang Mencari Dan Menanti- Drama Sepintas Lalu di Auditorium DBP, Kuala Lumpur, mulai 27 hingga 29 Jun ini, jam 8.30 malam.

Selain Rozita, pelakon-pelakon hebat dalam teater tersebut adalah Sabri Yunus, Angeline Tan, Zaibo dan lain-lain.

Tiket boleh dibeli dengan harga RM20, RM30 dan RM10 untuk pelajar dengan mendail 03-40265558 atau layari www.ticket2u.biz.

Show, Event & Performance - ALBUM

Saturday, April 5, 2008

Rozita Rohaizad muncul semula - utusan online

ARKIB : 04/05/2008


Rozita Rohaizad muncul semula



Bagi penggemar dunia muzik hari ini tentu sekali akan tertanya-tanya siapakah wanita yang bernama Rozita Rohaizad. Walaupun nama itu tidak segah Erra Fazira, Datuk Siti Nurhaliza atau Ziana Zain tetapi percaya atau tidak beliau sebenarnya sudah senior dalam dunia nyanyian.

Cuma mungkin nasib tidak menyebelahinya untuk membolehkan populariti yang pernah diraih suatu ketika dahulu itu meniti di bibir peminat.

Dan hari ini selepas 18 tahun berlalu, anak kepada seniwati Mariani dengan perkahwinan pertamanya dulu cuba membuat kejutan untuk memeriahkan dunia seni.

Berusia 51 tahun, pemilik nama sebenar Siti Roswita Syed Hamid ini berhasrat untuk mengembalikan saat kegemilangannya yang pernah tercipta pada akhir 1979 dahulu.

Mengimbas detik itu, bakat beliau mula dicungkil oleh komposer Datuk Ahmad Nawab sehingga terhasilnya album pertama berjudul Hari Yang Ku Nantikan bersama syarikat rakaman EMI.

Menyandarkan lagu Joget Budaya dan Cik Cik Boom, namanya sememangnya cukup dikenali pada waktu itu sehinggalah diberikan peluang berlakon filem sekitar tahun 1980-an.

Antara filem lakonannya Dendam Dari Pusara, Serampang Tiga dan Setinggan.

Tetapi selepas mendirikan rumah, beliau mula meninggalkan bidang seni kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarga.

“Selepas berumah tangga, saya merasakan adalah lebih baik tumpuan diberikan kepada suami dan anak sehinggalah nama saya yang pernah digilap sedikit masa dulu semakin hilang.

“Tetapi hari ini saya ingin mencuba untuk mengembalikan saat kegemilangan lampau saya dan sama-sama untuk memeriahkan dunia seni yang menjadi darah daging saya selama ini,” katanya.

Bersandarkan kepada harapan itu, maka Rozita menggunakan wang ringgitnya sendiri bagi menghasilkan album terbarunya Kekal Abadi yang dijadual berada di pasaran pertengahan Mei ini.

Ada yang bertanya tidakkah terlewat untuk beliau muncul kembali di saat dunia hiburan ketika ini tenat dengan kemunculan ramai artis terutamanya bintang-bintang realiti?

Bagaimanapun kata Rozita ia bukanlah satu halangan besar sebaliknya yang dia mahukan legasi darah seninya itu akan terus mengalir.

“Ibu (Mariani) dan adik saya Melissa Saila adalah artis. Begitu juga arwah bapa saya dan juga ibu saudara saya (Saloma).

“Berdasarkan kepada latarbelakang itu tidak salah saya menghasilkan album supaya orang boleh mengenang apabila tiada nanti,” ujarnya.

Menurut Rozita, niat untuk menghasilkan album sudah lama dipendam sejak kematian suaminya lebih setahun lalu.

Selepas bertemu dengan penerbit album Kamal Jay, hasrat Rozita itu dapat dilaksanakan dengan penglibatan beberapa komposer seperti Harun Ahmad.

Album yang akan diedarkan oleh Music Valley itu masih pada peringkat akhir rakaman cukup istimewa kerana Melissa Saila turut berduet dengan Rozita untuk lagu Kini Ku Sedar.

Dalam masa yang sama Mariani turut bersama menyumbangkan suara latarnya untuk sebuah lagu sketsa berjudul Rempit.

Rozita yang mempunyai seorang anak tunggal Lela Arfah Kamaruzzalam berusia 15 tahun tidak hanya menumpukan perhatian dalam bidang nyanyian sebaliknya bekerja sebagai remisier di salah sebuah bank.